RECOMMENDED ARTICLES

TIADA LAGI RAWATAN URUT KE RUMAH PESAKIT

ASSALAMUALAIKUM

Berapa kali hendak aku beritahu, aku sekarang tidak lagi membuat rawatan urut ke rumah pesakit, aku buat urut di rumah aku sahaja. Betul, sebelum ini aku ada juga membuat rawatan urut ke rumah pesakit tetapi sekarang tidak lagi. 6 tahun yang lepas aku memang datang membuat rawatan urut ke rumah pesakit, itu cerita lama dulu. Sekarang aku lebih selesa membuat rawatan urut di rumah aku sendiri, lagipun di rumah aku ada katil yang bagus, bilik disediakan bersih dan rapi bagi keselesaan pesakit. Pesakit tidak akan berasa malu atau kurang selesa apabila berada di rumah aku kerana ada bilik khas disediakan untuk mereka.
Sebelum ini aku memang selalu pergi membuat rawatan urut ke rumah pesakit, tetapi imbuhan yang aku dapat tidak berbaloi dengan jarak perjalanan yang aku tempuhi. Bayangkanlah kawan-kawan aku dari Bandar Klang ke Banting untuk mengurut seorang hamba Allah upah yang aku terima hanyalah rm1 itupun hamba Allah itu letak dalam ang pau. Takkanlah aku nak buka tengok berapa dia bagi, tetapi itulah hakikatnya. Ada lagi kes yang lebih jauh jarak perjalanan sehingga ke Ampang, aku mengurut seorang hamba Allah yang tinggal di Taman Dagang Ampang, upah yang diberikan kepada aku rm2. Hahaha Nak isi minyak kereta pun tak lepas. Semasa mengurut di Kuala Selangor seorang pesakit terkena angin ahmar, orang berada jugalah katakan tokey ayam. Tetapi upah yang aku terima hanyalah rm1.25 dengan sebatang jarum dan secubit garam kasar. Hahaha lagi haru-biru. Aduh macam-macam kerenah orang.
Ada pesakit dari Manjalara Damansara V.I.P katanya, berjanji jika aku datang urut ke rumahnya mahu beri rm sekian-sekian, tetapi selepas rawatan mengurut aku terima upah rm3. Air masak segelas pun tidak dipelawanya pada aku. Seorang saudagar ketering merangkap saudagar lori sewa minta aku mengurut bapanya yang sudah berumur 75 tahun bertempat di Bandar Sultan Sulaiman, 3 hari berturut-turut aku urut tetapi upah yang aku terima hanyalah rm5.
Seorang pakar perubatan tradisional (bomoh jenis seru pendamping) meminta khidmat aku untuk mengurut beliau selama 4 hari berturut-turut, upah yang aku terima rm1 sehari selama 4 hari. Tetapi bomoh ini kalau berubat dengan beliau, dia akan letakkan harga punyalah mahal kepada pesakitnya. Hahaha. Seluruh badan aku sakit berbisa, entah apa setan sudah masuk ke dalam tubuh aku, nasib baiklah aku cepat-cepat pergi berubat dengan Pusat Rawatan Islam. Segala keturunan jin dan setan melekat kat badan aku, nasib baik aku cepat berubat. Kalau tidak, entahlah apa akan jadi pada aku. Terlalu banyak sangat gangguan kalau aku pergi mengurut ke rumah pesakit. Allah saja yang tahu betapa merananya aku malam-malam, berhempas pulas hendak tidur kerana gangguan misteri.
Pernah sekali aku dijemput dari rumah dan di bawa ke Puchong untuk mengurut seorang V.I.P, muka V.I.P itu sekali sekala keluar tv. Sakit yang V.I.P alami adalah lemah tenaga batin, sampai-sampai sahaja aku di rumah V.I.P yang tersergam indah aku di herdik oleh isteri V.I.P. Macam pengemis aku di hina, isterinya meracau maki hamun aku. Hahaha tak jadi aku urut V.I.P itu. Aku pulang naik teksi setelah tunggu 2 jam di tepi highway, duit tidak cukup nak bayar tambang. Hahaha. Sebelah malamnya pula semasa tidur, badan aku bagaikan di pijak-pijak oleh seseorang. Sakit bukan kepalang, aduh tidak tertahan aku hendak melawan ilmu hitam. Padam muka aku.
Pengalaman mengurut seorang lelaki bangsa Cina di Shah Alam lagi mimpi ngeri, upah yang aku terima rm10. 3 hari aku di ganggu sewaktu tidur di malam hari. Kejap-kejap kena sepak, kejap-kejap kena tindih, rasa kepanasan membahang seluruh tubuh badan aku dan aku meracau-racau macam orang gila. Nasib baik aku cepat pergi berubat, rupa-rupanya Sami Siam yang menjaga lelaki bangsa Cina yang aku urut itu mengamuk marah pada aku. Allah saja yang tahu betapa peritnya kena gangguan misteri. Nasib baik saki-baki semangat masih ada dalam diri aku, kalau tiada semangat mungkin aku sudah gila agaknya.
Pengalaman mengurut seorang lelaki bangsa India di Kapar yang mengidap kencing manis, menjadi fobia selama hidup aku, upah yang aku terima rm30. Selepas mengurut lelaki bangsa India, badan aku jadi kebas-kebas dan sengal-sengal tulang 2 3 hari. Mula-mula aku ingatkan perkara biasa dan remeh-temeh, semakin hari badan aku semakin lesu dan tidak bertenaga. Aku tiba-tiba demam panas, antibody aku menurun mendadak. kekuatan aku hilang sehilangnya. Tidur malam aku meracau-racau, Allah saja yang tahu betapa sakitnya aku ketika itu. Pergi Klinik Bukit Kuda cek, ambil ujian darah sampai 4 kali dalam 4 hari. Aku betul-betul sakit. Tapi doktor kata aku demam panas biasa sahaja, Allah Hu Robbi. Menjerit hati aku minta pertolongan daripadaNya. Tergerak hati aku mahu berubat cara Rawatan Islam, Alhamdulillah aku segera sembuh. Rupa-rupanya badi mayat melekat kat badan aku, lelaki bangsa India yang aku urut itu kerjanya bakar mayat.
Banyak lagi pengalaman mengurut yang membuatkan aku kecewa untuk pergi membuat rawatan ke rumah pesakit. Akhirnya aku berjumpa seorang Iman namanya Tuan Haji Shahril, beliau menyarankan supaya aku membuat rawatan mengurut di rumah sahaja. Katanya biarlah pesakit yang mencari ubat. Bukan ubat yang mencari pesakit. Aku juga berjumpa dengan Tuan Iman Haji Arif, Tuan Iman Haji Jamal, Tuan Iman Haji Ibrahim, Pak Akob, Lebai Jusoh, Ustaz Salahuddin, Ustaz Junaidi, Ustaz Alang, Tuan Haji Sukiman, Tuan Haji Alias, Tuan Guru Ustaz Idrus, Arwah Tuan Guru Abang Manan Sementa, Tuan Guru Along Jamalluddin Taman Klang Utama, Tuan Guru Abang Kamal Meru, Tuan Guru Ayah De Jaffar, Tok Ayah Kijal, Cikgu Dzulkifli Johor, Tok Guru Pok Su Weer Semanyer dan beberapa orang lagi yang aku lupa nama mereka. Mereka semua menyuruh aku membuat rawatan mengurut di rumah sahaja dan memagari rumah aku 4 penjuru dengan kaedah Rawatan Islam.
Selepas perjumpaan demi perjumpaan dengan Tuan Iman, Tuan Guru, dan kawan-kawan aku mulakan hidup baru dengan membuat rawatan mengurut di rumah aku sahaja. Jika aku sakit terkena buatan orang atau gangguan makhluk halus serta terkena badi pesakit selepas membuat rawatan mengurut, aku akan pergi berubat dengan Ustaz Salahuddin, Ustaz Alang dan Pak Akob. Jasa beliau kepada aku amatlah tinggi. Semoga Allah mencucuri rahmat dan nikmat kepada mereka.
Kepada kawan-kawan yang budiman, jemputlah datang mengurut di rumah aku, upah urut ikhlas hati kalian. Maaflah aku tidak dapat pergi membuat rawatan mengurut ke rumah kalian lagi, walaupun kalian sanggup tawarkan harga yang tinggi untuk mengupah aku. Rezekikan rahsia, aku redha kerana nawaitu aku nak bantu orang ramai. Janganlah kalian salah sangka pada aku, aku tidak harap upah kalian itu. Aku buat kerja ikhlas hati kerana Allah. Semua perkara baik datangnya daripada Allah, manakala semua perkara buruk datangnya daripada aku. Allah Hu Alam.

TOLONG BACA

KEPADA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI, DISINI INGIN SAYA BERPESAN SEIKHLAS HATI JIKALAU MAHU BERURUSAN DENGAN SAYA TOLONG JANGAN SMS ATAU WHATSAPP. SAYA MEMANG TIDAK AKAN LAYAN, TOLONG JANGAN BUANG DUIT KREDIT TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEMATA-MATA MAHU TANYA ITU DAN INI MELALUI SMS ATAU WHATSAPP. JIKA MEMBUAT TEMUJANJI DENGAN SAYA SILA BERITAHU SEKIRANYA TIDAK JADI DATANG BERURUSAN DENGAN SAYA. JANGAN BAZIRKAN MASA SAYA YANG BERHARGA UNTUK TETAMU SAYA YANG MEMERLUKAN KHIDMAT DARIPADA SAYA. SEKALI LAGI INGIN SAYA BERITAHU KEPADA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN, BAHAWA SAYA TIDAK PANDAI MENGURUT, SAYA HANYA TOLONG SEMAMPU YANG BOLEH SEIKHLAS HATI SAYA. RAMAI LAGI TUKANG URUT PROFESIONAL DAN HEBAT-HEBAT DI LUAR SANA SILA CARI MEREKA DAHULU SEBELUM CARI SAYA. PERCAYALAH.