Selesai solat subuh perjalanan diteruskan menuju kedestinasi Jeram Penawar dan Jeram Racun. Suasana pagi sungguh baik sekali, limpahan cahaya matahari terang gemilang bersinar. Masih dalam usaha mencari penawar racun yang ada dalam diri. Perjalanan sungguh berliku, tiada jalan tar yang berturap baik. Terpaksa menaiki 4WD, 2 buah 4WD mengiringi aku ke sana.
Laluan untuk lori balak sahaja jalan tanah merah yang extreme dan janganlah bermimpi mahu guna kereta atau MPV untuk ke sana. Kami sekumpulan bergerak perlahan agar perjalanan selamat menuju kedestinasi. Melalui jambatan kayu balak yang cukup bahaya membuatkan hati kecut tidak terkata.
Indah ciptaan Allah S.W.T. sejuk mata memandang tenang jiwa raga. Nafas menjadi teratur dari kesakitan zahir dan batin yang parah.
Banyak mata ghaib memandang bila kami melalui hutan rimba yang jauh kedalam belantara. Tawakal kata hati dan pesan akal supaya ingat pada Allah S.W.T. setiap masa. Laungan Azan berkumandang dari mulut kami semua untuk pendengaran kami sahaja.
Banyak akar kayu yang bagus-bagus untuk rawat penyakit zahir dan batin di sini. Aku tidak tertarik untuk membawa pulang sebab ada pengembala di sini sedang mengawasi tidak tanduk kami semua.
Tiada bahasa dapat aku gambarkan untuk memberitahu betapa cantiknya permandangan di sini. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang mengetahui betapa takjubnya hati aku ini melihat ciptaanNya. Berbaloi 3 jam perjalanan yang extreme dan mencabar untuk kemari.
Pasang khemah dan memasak sebab kakitangan seramai 14 orang semuanya sudah kelaparan, Duduk dalam 4WD macam bersenam tanpa henti dalam masa 3 jam. Bakar kambing 3 kilo, ayam 2 ekor, ikan 3 kilo, burger daging 1 bungkus, burger ayam 1 bungkus dan hotdog 20 batang. Masak nasi 2 periuk besar memang meriah macam mahu buat kenduri dalam hutan belantara.
Menjamu selera ditepian Jeram Penawar dan Jeram Racun sungguh menyelerakan. Makan sampai lupa mahu berubat jiwa zahir dan jiwa batin di sini. 7 benang warna, 7 kain batik lepas, 7 kain pelekat, 7 kain berwarna, 7 biji kelapa muda, 7 jenis bunga wangi serta warnanya, 9 biji limau nipis, 3 biji limau purut dan air wangi aroma bunga mawar.
Alhamdulillah, penawar racun yang paling berbisa berlalu bagai angin sambil mengalir kedalam lubuk yang paling jauh di Jeram Penawar dan Jeram Racun ini.