Sekelumit resah rasa dalam mencari penawar racun stalaktit dan stalagmit jauh kedalam gunung ganang yang kelam. Hanya bertiga meredah masuk berbekalkan lampu suluh dan sarung tangan usang. Muslihat apakah yang baru bertandang dalam diri tentang penawar racun stalaktit dan stalagmit, keliru sungguh akal yang sejengkal ini.
Maklumlah tempat orang penghuninya memang tidak nampak, maka tutur kata perlu di titik beratkan supaya tidak terkeluar perkataan yang celupar serta biadap. Untuk meningkatkan dan memantapkan pencarian hanya bertawakal kepada Allah s.w.t serendah hatinya. Biarlah jalan yang dilalui tiada halangan atau rintangan. Suasana gelap pekat dan kelam hitam.
Bulu roma dan bulu tengkuk sering kali meremang seriau, entahlah apa tandanya. Malas mahu fikir perkara yang bukan-bukan, takut rosak akal yang waras dari anasir-anasir hitam yang tidak diingini. Langkah kaki semakin laju meredah masuk ke tengah gunung ganang yang penuh dengan stalaktit dan stalagmit.
Banyak ruang lapang bagaikan tempat mandi-manda, ada air bertakung. Tidak lupa pesan guru tua jangan kencing atau bermain di tempat air yang bertakung, dikhuatiri tempat tinggal 'JIN'. Meredah sambil meniarap dalam mencari penawar racun, kali ini memang agak sukar kerana tidak boleh berdiri tegak.
Lampu suluh tiba-tiba kami tutup semua dan kami letakkan jari telunjuk di depan mata. Dalam suasana yang gelap-gelita memang langsung tidak nampak jari kami walhal jari kami memang sudah ada depan mata sangat-sangat. Suasana terlalu gelap-gelita, kalau sesat memang mati dan tidak mungkin akan bertemu jalan keluar.
4 kilometer merangkak dan jalan membongkok sakit keseluruhan badan. Untuk mencari penawar racun, aku redha pada Allah s.w.t. Ujian pada aku ini, terima semampunya walaupun perit jerih untuk menemui penawar racun itu.
Lain ladang lain belalang, lain lubuk lain ikannya. Maka lain orang lain ragam dan lain peel lain pula perangainya. Melaksanakan petunjuk-petunjuk daripada guru tua kami sangat beruntung sebab sangat berguna dalam perjalanan ini. Harus selalu beringat agar dapat menyesuaikan diri dengan situasi tempat kami jelajahi.
Akhirnya.
Wallah hu 'alam bissawab.