Anda tentu bercita-cita untuk hidup sihat, bahagia, aman dan jauh daripada segala penyakit. Oleh itu hendaklah kamu berjaga-jaga. Bersihkanlah diri, jangan makan benda-benda yang haram dan kotor, makanlah makanan yang bersih, halal. Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَا مَلَأَ ابْنُ آدَمِ وِعَاءَ شَرًّا مِنْ بَطْنِهِ.
Ertinya:
"Janganlah anak adam memenuhkan perutnya kerana ia akan mendatangkan penyakit".
Hadis menyuruh kita makan secara serdehana sahaja, janganlah terlalu kenyang dan jangan pula terlalu sedikit. Apabila kamu hendak makan, basuhlah tangan terlebih dahulu mulakanlah makan itu dengan menyebut nama Allah iaitu:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Ertinya:
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih".
Mulakan dengan tangan kanan dan ambillah makanan yang paling dekat dengan kamu. Janganlah kamu makan dengan gelojoh, kunyahlah dengan perlahan-lahan kemudian barulah ditelan, kerana makanan yang kurang hadam itu akan menyakit perut dan kadang-kadang membawa banyak penyakit. Janganlah makan di atas tembok, di tengah jalan sebagai mana dilakukan oleh setengah-tengah orang, yang tidak ada didikan. Makanlah di tempat yang sesuai kerana makan di jalan atau di tengah jalan melambangkan keperibadian yang tidak baik.
Janganlah kamu bersifat bakhil dan kedekut ketika sedang makan. Pelawalah sesiapa yang berada berdekatan, lebih-lebih lagi kalau yang berdekatan itu orang-orang yang susah dan miskin, sedekahlah walaupun sedikit. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
إِنَّ صَدَقَةَ السِّرِّ تُطْفِيءُ غَضَبَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى.
Ertinya:
"Bahawasanya sedekah secara senyap itu akan akan mendapat keampunan dari kemurkaan Allah Ta'ala".
Janganlah makan dengan menggunakan pinggan mangkuk yang kotor, kerana bekas yang kotor akan membawa penyakit. Kalau hendak makan pilihlah tempat-tempat yang sesuai untuk makan. Juga kalau hendak minum, minumlah air yang telah dimasak, sebutlah nama Allah bila hendak minum. Janganlah minum sekaligus, minumlah sedikit demi sedikit, hingga tiga kali teguk. Setelah selesai ucapkanlah:
الْحَمْدُ الله
menandakan syukur kepada nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya.