Seksual merupakan satu aspek yang penting dalam kehidupan berumahtangga. Rumahtangga akan porak-peranda sekiranya kehidupan seksual terganggu. Perkara yang demikian, suami isteri haruslah mengetahui kemampuan seksual pasangannya hinggalah kepada masalah-masalah yang timbul yang disebabkan berbagai-bagai masalah atau penyakit supaya ianya segera diatasi.
Sebahagian besar pasangan kelamin masih tidak mahu membuka
masalah-masalah seksual yang peribadi. Mereka beranggapan seks merupakan
sesuatu yang lucah atau kotor dan memalukan pasangannya. Akibatnya, pasangan
kelamin menghadapi masalah batin atau penyakit-penyakit kelamin yang tidak
pernah dapat diatasi. Keadaan ini menyebabkan pasangan kelamin akan menderita
bertahun-tahun.
Pada kenyataannya, masalah itu hanyalah masalah remeh-temeh
yang tidak diatasi secara baik dan mengakibatkan kehidupan yang porak-peranda.
Namun begitu, terdapat juga masalah yang berat di mana memerlukan penerangan
dan nasihat doktor pakar. Oleh itu, setiap pasangan kelamin yang berhasrat
mendirikan rumahtangga haruslah bersedia menghadapi berbagai masalah yang
mungkin timbul. Seringkali kita terdengar tentang ketidakpuasan hubungan
seksual yang disebabkan suami tidak tahu apa itu orgasma atau isteri tidak
mendatangkan ghairah sehingga setiap kali perhubungan seksual berlaku ianya
bukan menjadi suatu nikmat, bahkan suatu penyeksaan yang membosankan.
Atas sebab demikianlah maka blog ini diterbitkan. Ianya diharapkan
dapat dimanfaatkan oleh pembaca dari berbagai kaum dengan pelbagai kemungkinan
yang timbul. Ianya sesuai untuk pasangan yang baru berumahtangga mahupun mereka
yang sudah beranak cucu.
Banyak persoalan yang dikemukakan dengan berbagai keadaannya
telah diselesaikan dengan penuh tanggungjawab. Semuanya mencakupi masalah
kehidupan seks masyarakat berbilang kaum. Dengan mengambil ikhtibar daripada
jawapan yang diberikan, insya-Allah ia akan menjadi pemecah bagi segala masalah
seksual rumahtangga. Masalah yang dikira remeh-temeh boleh diselesaikan secara baik
antara suami isteri, manakala masalah yang berat haruslah mendapatkan
perkhidmatan doktor pakar.
Seterusnya blog ini ditujukan kepada pasangan kelamin yang
selama ini menutup masalah seksual mereka. Dengan mengetahui berbagai masalah
dari kehendak setiap pasangan, kehidupan seks akan lebih meriah dan
menyeronokkan. Perkara yang demikian 'dunia gelap' yang selama ini menyelubungi
rumah- tangga yang bermasalah akan menjadi terang benderang. Dalam membongkar
masalah seksual, tentu terdapat bahagian- bahagian yang dianggap lucah oleh
sebahagian orang. Saya mengharapkan agar ianya dilihat sebagai ilmu dan
bukannya lucah, kerana tujuan saya bukanlah hendak mengemukakan hal-hal
demikian tetapi demi menjawab berbagai persoalan, ianya menjadi perlu.
Semoga dengan penerbitan ini, ia dapat membantu
menyelesaikan masalah-masalah seksual dan seterusnya meningkatkan kebahagiaan
rumahtangga.