Assalamualaikum,
Ingat lagi pesan ibu tua aku suatu waktu dahulu, kita ini tidak berduit malah jauh sekali daripada berharta. Ingat sedekahkanlah tenaga yang ada pada diri kita kepada sesiapa yang memerlukannya. In sha Allah, Allah akan ganti dengan kebaikan untuk kita semula.
Senyum selalu sentiasa bertolak ansur dalam keluarga, adik-beradik, sanak-saudara, kawan-kawan, jiran-jiran dan masyarakat. Bukan kita sampai bila-bila akan tongkat langit, tunduk kebumi dan tahu di mana diri berpijak.
Jangan sombong nanti makan diri, buat baik berpada-pada dan buat jahat jangan sekali. Biar miskin janji berbudi bahasa dan bersopan santun. Orang tua dihormati, anak kecik disayangi. Kita kena bertindak dalam kerangka ilmu. Kita menghormati dan beradab dengan mereka, maka mereka akan hormat dan sayang pada kita.
Biarlah kita penat di badan sekejap kerana tolong mereka, apabila kita berehat nanti penat itu akan hilang dengan sendirinya. Curahlah tenaga sampai bila-bila, berbakti pada mereka yang memerlukan. Jangan mengeluh, kalau mengeluh nanti mudarat diri sendiri. Ikhlaslah kerana Allah.
Semoga kita semua sentiasa dirahmati oleh Allah, buang yang keruh kita ambil yang jernih. Senyum itukan satu sedekah. Salam sayang.