Adsterra

Memaparkan catatan dengan label PERKONGSIAN HADIS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PERKONGSIAN HADIS. Papar semua catatan

Menunaikan Tangungjawab Ke atas Muslim

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Bahawa Abdullah bin Umar radliallahu 'anhuma mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (Sahih Bukhari No: 2310) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.

2.  Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a.  Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain.

b.  Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi.

3.  Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya.

4.  Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat.

5.  Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain.

6.  Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

7.  Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:

a.  Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar. 

b.  Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aib tersebut.” 

Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, berusahalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain serta miliki sifat cakna dan prihatin membantu kepada yang memerlukan.

Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya." (Sahih Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya: 

a.  Mendengki.

b.  Memfitnah.

c.  Membenci.

d.  Memusuhi.

e.  Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain.

2.  Setiap Muslim adalah bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan cara:

a.  Menyakiti.

b.  Merendahkan.

c.  Menghina.

3.  Takwa itu di dada (rasa taat dan patuh kepada Allah itu terletak di dalam hati).

4.  Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. 

5.  Penghinaan  boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6.  Muslim sesama Muslim dilarang:

a.  Menumpahkan darah sesama Muslim.

b.  Menzalimi hartanya.

c.  Merendahkan kehormatannya.

Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya.

Mukmin Umpama Satu Jasad


عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى


Daripada Nukman bin Basyir RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam (turut merasa sakitnya)." (Musnad Ahmad No: 17907) Dar Ihya’ Turath Arabiy. Status: Isnad Tsiqah)

Pengajaran:

1.  Setiap Mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.

3.  Sayangi saudara mukmin kita sepertimana kita sayang kepada diri kita. Jika mereka susah atau sakit, kita sewajarnya merasai kesusahan atau kesakitan tersebut. Justeru menjadi kewajipan kita membantu mereka. Dia adalah sebahagian daripada anggota kita.

4.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan. 

5.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

6.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib. 

Golongan Yang Dinaungi Di Akhirat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللَّهِ وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُودَ إِلَيْهِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ فَاجْتَمَعَا عَلَى ذَلِكَ وَتَفَرَّقَا وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ حَسَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ 

Daripada Abu Sa'id RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil, pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada Allah, orang yang hatinya terikat dengan masjid bila ia keluar meninggalkannya hingga ia kembali lagi, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul kerana itu dan berpisah kerana itu, orang yang mengingat Allah saat menyendiri lalu kedua matanya berlinang, lelaki yang diajak oleh wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan (melakukan kejahatan) lalu ia berkata: Aku takut Allah, seseorang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya." (Sunan Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih


Pengajaran:

Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar. Tujuh golongan orang yang akan mendapat perlindungan Allah di hari akhirat:

1.  Pemimpin yang adil.

2.  Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah.

3.  Orang yang hatinya sentiasa tertambat ke masjid.

4.  Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana kecintaan kepada Allah.

5.  Orang yang mengingat Allah ketika bersendirian lalu berlinangan air matanya.

6.  Lelaki yang diajak oleh wanita kaya dan cantik melakukan kejahatan,  lalu ia enggan dan berkata berkata: Aku takut Allah.

7.  Seseorang yang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Berusahalah menjadi orang yang mendapat naungan dan RAHMAT Allah di hari Kiamat. Antara orang yang akan mendapat naungan dan perlindungan di padang mahsyar ialah mereka yang saling mencintai sesama mereka semasa di dunia kerana Allah.

Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini. 


Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ


Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih" (HR Bukhari No: 1284). Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim

2.  Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.

3.  Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya  ialah sifat  membantu mereka yang sedang menghadapi musibah,  sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan nasihat.

4.  Kasihilah orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu orang yang sedang kesempitan, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.

5.  Jika kita benci atau tidak suka kepada kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun dilaman sosial.

Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih terhadap orang lain. Islam agama yang mulia dan berakhlak. 

Segala puji pujian hanya untukMu ya Allah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

         سۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْن


Ya Allah, berilah kami hati yang tenang, fikiran yang jerneh dan kuatkanlah kami dengan hati yang sabar.

Ya Allah, anugerahkanlah kami taufiq dah hidayahMu dan berilah kami kekuatan dan keupayaan untuk memelihara kehendak-kehendak agama, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

Ya Allah, bantulah kami, bimbinglah serta jadikanlah kami sebaik-baik insan. 

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

Ya Allah, hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati.

Ya Allah, harmonikanlah antara kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan.

Ya Allah, bebaskanlah kami  dari segala kepayahan dengan rahmatMu wahai tuhan yang maha merahmati segala yang penyayang.

Ya Allah, jadikanlah kami kaum yang dihindarkan dari segala bala, bantulah kami daripada sebarang pencerobohan, bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. 

Ya Allah, zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. 

Ya Allah, awasilah kami dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan  lindungilah kami dengan bentengMu yang tidak pernah luput.

َYa Allah kami memohon ya Allah, kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurga FirdausMu ya Allah. َ

Ya Allah ya Ghaffar, ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa dan mertua kami, pasangan hidup kami, anak2 kami, kaum keluarga kami, jiran2 kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami serta sekalian muslimin muslimat di mana saja mereka berada. 

Ya Allah, hidupkan kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Iman. 

Ya Allah lindungilah kami dari bisikan dan tipu helah syaitan.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabatnya. 

Segala puji pujian hanya untukMu ya Allah

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَّمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَصَلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمين.ِ

TOLONG BACA

KEPADA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI, DISINI INGIN SAYA BERPESAN SEIKHLAS HATI JIKALAU MAHU BERURUSAN DENGAN SAYA TOLONG JANGAN SMS ATAU WHATSAPP. SAYA MEMANG TIDAK AKAN LAYAN, TOLONG JANGAN BUANG DUIT KREDIT TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEMATA-MATA MAHU TANYA ITU DAN INI MELALUI SMS ATAU WHATSAPP. JIKA MEMBUAT TEMUJANJI DENGAN SAYA SILA BERITAHU SEKIRANYA TIDAK JADI DATANG BERURUSAN DENGAN SAYA. JANGAN BAZIRKAN MASA SAYA YANG BERHARGA UNTUK TETAMU SAYA YANG MEMERLUKAN KHIDMAT DARIPADA SAYA. SEKALI LAGI INGIN SAYA BERITAHU KEPADA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN, BAHAWA SAYA TIDAK PANDAI MENGURUT, SAYA HANYA TOLONG SEMAMPU YANG BOLEH SEIKHLAS HATI SAYA. RAMAI LAGI TUKANG URUT PROFESIONAL DAN HEBAT-HEBAT DI LUAR SANA SILA CARI MEREKA DAHULU SEBELUM CARI SAYA. PERCAYALAH.